CAMERON HIGHLAND – Seorang mangsa yang cedera parah dalam kejadian sebuah van merempuh kawasan pasar malam di Golden Hill di sini, malam kelmarin dilaporkan meninggal dunia di Hospital Batu Pahat, Johor pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Tan Siew Lee, 52, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia kira-kira jam 8.43 pagi di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Hasadid A. Hamid berkata, mangsa sebelum ini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh tetapi dipindahkan ke Hospital Batu Pahat yang berdekatan dengan tempat asal mangsa.
Menurutnya, bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan parah di bahagian kepala akibat insiden tersebut.
Jelasnya, ini menjadikan dua orang maut akibat kejadian itu selepas seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Adra Mustaffa Kamal dari Kampung Tenglu Laut, Mersing, Johor meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Seorang lagi mangsa parah iaitu Kho Liang Jing, 23, yang patah kaki kini dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.
Sementara itu, pemandu van berusia 29 tahun masih ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan.
Pemeriksaan mendapati ujian air kencing pemandu van tersebut adalah negatif dadah.
Baca: Budak Maut, 2 Cedera Dilanggar Van Di Pasar Malam
Dalam kejadian 9.45 malam itu, sebuah van dipercayai terbabas dan melanggar orang ramai yang berada di gerai pasar malam yang menjadi tumpuan pelancong itu. – MYNEWSHUB.CC