INDIVIDU yang hina seorang pemandu teksi di Singapura dengan mengatakan dia sebagai chao ah gua (pondan) serta secara bongkak menunjukkan 20 keping wang not S$1,000; telah dikenal pasti.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina terkenal Singapura, Shin Min Daiy News (SMDN), lelaki terbabit merupakan pengusaha sebuah restoran nasi ayam ‘Hainan Chicken Rice’ yang dikenali sebagai Lim Kian Liang.
Manakala pemandu teksi itu pula hanya dikenali sebagai Sun. Video rakaman insiden tersebut baru-baru ini turut menjadi tular dalam kalangan netizen tempatan yang menyifatkan Kian Liang sebagai bersikap kurang ajar.
Baca: Kerana Rebut Meja, Pasangan Biadab Kasari Warga Emas
Seperti yang dikongsikan Sun kepada pemberita, insiden pertelingkahan antara mereka berdua berlaku sejurus tiba di lokasi kediaman Kian Liang di Potong Pasir setelah menaiki teksi dari sebuah kelab malam di Clark Quay.
Dalam rakaman video tular itu, Sun pada mulanya meminta jumlah bayaran tambang iaitu sebanyak S$12.45, namun Kian Liang secara bongkak menjerit sambil menggeluarkan ayat menghina pekerjaan pemandu teksi itu.
“Awak nak duit? Cukup tak kalau saya beri S$1,000? Kalau tak cukup, saya boleh beri lagi S$3,000?” kata Kian Liang sambil menunjukkan dan mengira sendiri 20 keping not S$1,000 di hadapan Sun.
Kian Liang kemudian cuba membayar tambang itu dengan memberikan sekeping not S$1,000. Jarak antara dua tempat itu hanya kira-kira 10 kilometer dan lazimnya mengambil masa 10 minit jika tiada kesesakan trafik.
Enggan menerima wang kertas itu, Sun lantas meminta Kian Liang untuk memberikan nilai wang yang lebih kecil dengan memintanya secara baik dan barulah lelaki tersebut memberikan dua keping S$10 kepadanya.
Tidak berhenti setakat itu sahaja, Kian Liang kemudian secara biadap terus memaki dan mencaci Sun, seolah-olah mengatakan pekerjaan pemandu teksi tersebut sebagai hina lagi tidak setaraf dengan kedudukan dirnya.
Perbuatan biadap lelaki itu mendapat kutukan dan kecaman netizen tempatan selepas rakaman itu menjadi tular menerusi media sosial di Singapura selepas dikongsikan laman Singapore Uncensored pada 27 April lalu.
Dalam temubual bersama-sama akhbar SMDN, Sun mengatakan pekerjaan yang dilakukan iaitu sebagai pemandu teksi merupakan sumber utama rezekinya untuk menampung diri dan ahli keluarganya.
Namun selepas insiden itu, dia mengatakan kebiadapan Kian Liang yang tergamak menghina pekerjaannya bukan sahaja memperkecilkan dirinya, malah seluruh industri teksi di Singapura.
Ekoran kejadian, Kian Liang dikatakan telah memohon maaf kepada pemandu tersebut dan mengakui yang dia dalam keadaan amat mabuk pada ketika itu, malah menawarkan nasi ayam secara percuma.
Kian Liang menegaskan yang dia tidak bermaksud untuk memperkecilkan pekerjaan pemandu itu dan turut mahu melakukan permohonan maaf secara terbuka menerusi akhbar tempatan.
“Saya minum terlalu banyak dan tidak mengingati kejadian yang berlaku itu. Sebenarnya saya kerap menggunakan perkhidmatan teksi dan sentiasa bersembang baik dengan pemandu.
“Namun pada hari itu saya sudah terlalu mabuk. Saya memang tiada niat dan tidak bermaksud untuk menyingung perasaan seluruh pemandu teksi,” katanya.
Dia turut memberitahu bahawa kesemua wang yang dibawa pada hari kejadian merupakan wang yang akan dibayar kepada pembekal bahan mentah untuk operasi restorannya.
“Wang itu memang berada di dalam poket saya, oleh itu saya hanya mengambil ia keluar namun ia kelihatan seperti saya seorang yang berlagak,” tambahnya.
Difahamkan, selepas insiden itu menjadi tular di media sosial, restorannya sering menerima pelbagai ugutan dan ancaman panggilan telefon daripada pelbagai pihak sehingga membuatkan dia terpaksa membuat laporan polis.
Sementara itu, hasil semakan kami di laman sosial turut mendapati laman Facebook restoran itu menerima pelbagai komen negatif netizen dan tidak kurang juga ada yang meminta agar boikot restoran itu. – MYNEWHSUB.CC