CEMAS… Seorang wanita nyaris maut selepas tilam di bilik sewanya terbakar dalam kejadian di Hoover Room di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching, Sarawak, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.52 pagi itu, mangsa, Nurul Naimah Abdullah berjaya diselamatkan oleh pekerja hotel sejurus menyedari berlaku kebakaran dalam bilik hotel tersebut.
Mangsa yang berusia 27 tahun dan yang berasal dari Rumah Enchangie Sungai Dandi Ulu Pedanum Pakan itu ditemui dalam keadaan khayal namun masih sedarkan diri.
Difahamkan, tilam yang terbakar dalam bilik sewa tersebut berjaya dipadamkan oleh pekerja hotel itu. Setakat ini, punca kejadian belum dapat dipastikan kerana mangsa yang khayal belum dapat memberi kenyataan.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.54 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima laporan kecemasan tersebut, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi kejadian, tilam yang terbakar dalam bilik sewa tersebut bagaimanapun telah berjaya dipadamkan oleh pekerja hotel berkenaan.
“Mangsa juga sudah keluar dari biliknya, namun masih dalam keadaan lemah akibat khayal,” katanya. Ling Hii memberitahu, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 6.40 pagi. – MYNEWSHUB.CC
*Video dibawah sekadar hiasan…