HITAM itu menawan. Ia dibuktikan oleh model dari selatan Sudan ini, Nyakim Gatwech.
Namanya kini menjadi terkenal dalam industri modeling dan digelar `Queen Of Dark’ disebabkan kulitnya yang berwarna gelap.
Namun dalam keadaan dia dipuji kerana memiliki kecantikan klasik, Nyakim terpaksa berdepan dengan mereka yang menghinanya disebabkan warna kulitnya itu.
“Saya pernah ditanya oleh pemandu Uber. Katanya, Jangan rasa terhina tetapi jika awak diberikan 10,000 dolar sanggupkan awak memutihkan kulit awak?’’ kata Nyakim.
Mendengar pertanyaan itu, Nyakim ketawa dan menegaskan dia tidak akan melakukan apa-apa untuk mengubah pemberian Tuhan kepadanya.
Menyedihkan, kata Nyakim itu bukan kali pertama dia berdepan dengan pertanyaan yang mengarut dan tidak sensitif.
Malah sejak berpindah ke Amerika Syarikat, dia sering kali dihina.
“Saya dibuli dan digelar hitam tetapi saya memutuskan untuk berdepan dengan pembuli tersebut,” katanya yang sedang mencipta nama dalam dunia fesyen.
Dengan pengalaman dihina itu, Nyakim kini mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap dirinya dan dia mahu orang lain juga berpendirian seperti itu kerana kecantikan bukan hanya dipandang pada luaran sahaja, sebaliknya dalaman lebih bererti. – MYNEWSHUB.CC