KUANTAN – Seorang lelaki warganegara Bangladesh ditemukan lemas selepas mandi di Air Terjun Chamang, Bentong petang Jumaat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff berkata, seorang pegawai dan 11 anggota APM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.45 petang berhubung kehilangan mangsa.
“Menurut laporan awal mangsa, Monir Hossain Jalal Uddin, 40-an, dilapor telah turun mandi di kawasan air terjun berkenaan bersama saudara-mara.
“Tiba-tiba aras air sungai meningkat mendadak menyebabkan mangsa hilang dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Katanya, anggota penyelamat kemudian menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap dengan kaki tersepit di celah batu di air terjun berkenaan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. – BERNAMA