KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-246 yang berlangsung untuk hari kedua di Istana Negara di sini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mesyuarat itu yang bermula semalam dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan dihadiri semua Raja-Raja Melayu dengan diiringi menteri besar masing-masing kecuali Kedah, Kelantan dan Pahang.
Kedah diwakili Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Kelantan diwakili oleh Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra dan Pahang diwakili oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak turut hadir pada mesyuarat itu dengan diiringi ketua menteri masing-masing. – BERNAMA