TAWAU – Kira-kira 1,000 petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bertugas bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan sempena temasya Sukan Sea dan Para ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Ogos dan September depan di Kuala Lumpur.
Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata pasukan perubatan yang terdiri daripada doktor, pembantu perubatan dan jururawat dari Hospital Putrajaya, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang itu ditugaskan untuk memberi bantuan perubatan serta rawatan.
“Kita ada prosedur operasi standard (SOP) sendiri dalam mengendalikan temasya sukan yang besar ini dan memerlukan banyak petugas kesihatan kerana melibatkan beberapa venue sukan di luar Kuala Lumpur seperti di Langkawi dan Terengganu.
“Susulan itu juga Klinik Kesihatan Kuala Lumpur yang baru siap dibina akan menjadi pusat bagi memantau semua aktiviti pada Sukan Sea kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerjanya di Hospital Tawau di sini, hari ini.
Selain itu, Dr Chen berkata ambulans juga akan disediakan dan ditempatkan di setiap venue sukan yang berlangsung pertandingan.
“Akan ada satu atau dua ambulans tunggu sedia pada satu-satu tempat,” katanya.
Beliau berkata KKM turut bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) bagi memperhebatkan aspek perubatan dan rawatan ketika temasya sukan itu.
“APM akan menyediakan anggota mereka dan ambulans bagi membantu petugas KKM,” katanya lagi.
Edisi ke-29 Sukan SEA akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan, manakala edisi kesembilan Sukan Para ASEAN pula dijadual dari 17 hingga 23 Sept. – BERNAMA