MANILA – Serangan udara tentera Filipina bertujuan memerangi militan Islam “Maute” di bandar selatan Marawi mengakibatkan 11 askar maut dan mencederakan tujuh yang lain, kata pegawai pertahanan dan tentera pada Khamis lapor agensi berita China Xinhua.
Brigadier Jeneral Restituto Padilla berkata pada sidang akhbar, kejadian pada Rabu itu berpunca daripada bom roket yang ditembak pesawat tempur SF-260.
“Pesawat tempur SF-260 dipercayai tersalah sasar dan tidak sengaja menyebabkan beberapa anggota tentera darat terbunuh,” kata Padilla.
Menurut Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana mungkin berlaku kesilapan menyebabkan kejadian tidak disengajakan itu berlaku dan punca sebenar masih belum diketahui.
Pada satu sidang akhbar di Istana Presiden Lorenzana berkata, siasatan sedang dijalankan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Rodrigo Duterte.
Beliau berkata lebih banyak anggota tentera dihantar ke Marawi untuk menumpaskan saki baki militan yang dianggarkan seramai 50 hingga 100 orang.
Tentera berkata pertempuran berterusan itu menyebabkan 90 militan, 19 orang awam dan 36 anggota tentera dan polis terkorban.
Lorenzana berkata sekurang-kurangnya lapan militan asing yang berjuang bersama Maute turut maut.
Pada 23 Mei, militan bersenjata bertindak menyerang bandar yang mempunyai seramai 200,000 penduduk itu apabila tentera kerajaan menjalankan operasi mencari seorang pemimpin Abu Sayyaf, dipercayai bersembunyi di bandar berkenaan.
Akibatnya pihak tentera melancarkan serangan balas menyebabkan siri pertempuran hebat berlaku. – BERNAMA