PADANG BESAR – Sebelas lelaki yang leka bermain judi belangkas di belakang sebuah rumah di Kampung Luar, Jalan Pangkas-Chuping diberkas polis, awal pagi semalam.
Menurut jurucakap polis Daerah Padang Besar, pasukan D7 (Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman diketuai DSP Saruddin Samah memberkas lelaki tersebut termasuk tuan rumah yang berumur 30-an hingga 50-an pada kira-kira 1.30 pagi.
Jurucakap itu yang dihubungi Bernama hari ini berkata pasukan polis berjaya menghampiri kumpulan penjudi tersebut dengan cara menyamar setelah mendapat maklumat daripada orang awam.
“Sebaik menghampiri mereka yang leka berjudi di bawah sebuah khemah di belakang rumah tidak bernombor, polis memperkenalkan diri menyebabkan mereka bertempiaran lari namun berjaya diberkas,” tambahnya.
Jurucakap itu berkata pasukan tersebut turut merampas semua peralatan judi termasuk wang tunai tetapi tidak menyatakan jumlahnya. – BERNAMA