PUTRAJAYA – Seramai 12,589 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2017 pada 6 hingga 8 Jun ini.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata peperiksaan itu akan dijalankan di 229 pusat peperiksaan di seluruh negara melibatkan 1,707 petugas peperiksaan.
Sebanyak tiga mata pelajaran ditawarkan dalam Peperiksaan SPM Ulangan iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
” Calon diingatkan agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai masa serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung,” menurutnya.
Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun di laman web Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.
Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – BERNAMA