KUALA LUMPUR – Pemegang konsesi bagi dua lebuh raya, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) berhadapan risiko muflis ekoran kekurangan trafik.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika mengesahkan perkara itu berkata, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. adalah syarikat konsesi tol bagi EDL manakala Senai-Desaru Expressway Bhd. bagi SDE.
Beliau seterusnya berkata, pihak kementerian sedang meneliti laporan kerugian kedua-dua syarikat konsesi itu, yang mana ada antara kerugian tersebut kesan daripada keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
Sekiranya laporan itu benar, katanya, beberapa mekanisme mengatasi masalah tersebut akan diambil, antaranya pengambilalihan oleh kerajaan atau syarikat lain atau mencari kaedah mengurangkan kerugian mereka.
“Contohnya, ketika kerajaan mula memperkenalkan tol di EDL, ia dikecualikan pada rakyat Johor dan bayaran hanya dikenakan pada kenderaan yang menghala dan datang dari Singapura.
“Bagaimanapun, pihak Singapura bertindak balas dengan keputusan Malaysia itu. Kemudian kita perkenalkan pula Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), tetapi Singapura juga bertindak balas.
“Kesannya jumlah kenderaan melalui lebuh raya itu berkurang dengan agak mendadak, menyebabkan unjuran trafik di dalam perjanjian gagal dicapai dan (pemegang konsesi) mengalami kerugian.
“SDE juga berdepan masalah sama kerana jumlah trafik berkurangan, namun ia akan berubah apabila projek di Pengerang, Johor siap,” kata Fadillah pada sidang media di sini Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua syarikat konsesi tol yang dikatakan berisiko muflis dan memohon agar proses pengambilalihan dilakukan oleh kerajaan serta penstrukturan semula.
Pada Mei lalu, Fadillah pernah memaklumkan mengenai perkara tersebut, namun beliau tidak menamakan dua syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa mekanisme penyelesaian itu adalah antara langkah yang dipertimbangkan, namun belum ada sebarang keputusan mengenainya.
“Memandangkan ini adalah membabitkan kerjasama awam dan swasta, maka perlu ada situasi menang-menang pada kedua-dua pihak,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA