KANGAR – Empat lelaki beragama Islam memberikan pelbagai alasan ketika ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) kerana makan, minum atau menghisap tembakau di tempat terbuka, semalam.
Pengarahnya, Dr Hazman Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, mereka yang berusia antara 30 dan 50 tahun itu ditahan dalam Operasi Bersepadu Ramadan 1438H pada 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di lima premis sekitar bandar Kangar.
“Antara alasan mereka tidak berpuasa ketika ditahan adalah kerana perlu makan ubat dan tidak sempat bersahur,” katanya.
Kesemua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 25 (1) (b) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 (Pindaan 2012) yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, sementara kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Operasi dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sebagai usaha membendung aktiviti penjualan makanan siap dimasak sebelum 2 petang sepanjang Ramadan.
Peniaga Islam yang melanggar peraturan jualan seperti yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 (1) (a) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 (Pindaan 2012).
Bagi kesalahan itu, peniaga boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama sementara bagi kesalahan kedua serta berikutnya denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA