KUALA LUMPUR – Anak kepada penyanyi nasyid UNIC, Bazli Hazwan Osman meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur di sini kira-kira pukul 7.23 pagi Rabu.
Pemergian allahyarham Muhammad Syahid yang menghidap barah Lymphoma dan baru berusia tiga tahun itu dikongsikan sendiri oleh Bazli menerusi laman instagramnya.
“Anak kesayangan ayah, Syahid sudah pergi meninggalkan kita. Allah sayangkan Syahid,” luahnya. Kisah penderitaan anak kecil ini pernah mendapat liputan luas media sebelum ini.
Baca: Bazli UNIC Baca Al-Quran Jaga Anak Hidap Kanser
Juga: Juara GGV – ‘Ini Mungkin Rezeki Anak Saya’ – Bazli
Jenazah Muhammad Syahid dijangka dikebumikan di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor selepas soat Zuhur hari ini.
Muhammad Syahid disahkan menghidap barah tahap ketiga selepas mengalami bengkak kecil pada bahagian leher, ketiak dan paru-paru pada Disember lalu.
Allahyarham merupakan anak pertama daripada dua cahaya mata hasil perkongsian hidup antara Bazli, 33, dengan isterinya, Asiah Abu Bakar.
Seorang lagi anaknya, Muhammad Assfan kini berusia sembilan bulan. Sementara itu, Bazli turut berkongsikan video berdurasi 48 saat mengenai kenangan manisnya membaca al-Quran bersama Muhammad Syahid.
“Syahid… Ayah akan rindu nak baca al-Quran dengan Syahid lagi nak,” kata Bazli menerusi keterangan pada status tersebut.
Dalam pada itu, menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri dijangka 25 Jun ini, Muhammad Syahid telah dihadiahkan sepasang baju berwarna hijau gelap daripada orang ramai untuk dipakai pada 1 Syawal nanti.
“Terima kasih pada tuan yang budiman menghadiahkan Muhammad Syahid hadiah. Moga Muhammad Syahid lekas sihat,” ujar Bazli. – MYNEWSHUB.CC