PELAKON Adam Shah terkejut dengan dakwaan mengatakan konon isterinya, Fatin Afifah memfailkan permohonan cerai selepas dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung.
Adam menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa dia dan isteri tidak duduk serumah kerana dalam proses berpindah rumah.
“Ia adalah fitnah yang tidak masuk akal dan mengarut. Saya dan isteri masih bersama dan bahagia bersama anak-anak.
“Sebenarnya kami tinggal berasingan bukan kerana tidak lagi bersama tetapi dalam proses untuk berpindah rumah.
“Saya sudah menukar persekolahan anak-anak yang berdekatan dengan rumah dan keluarga mentua.
“Bagaimanapun, ketika mahu berpindah sebelum Ramadan lalu, saya mengalami masalah apabila kontrak rumah yang kami tinggal sekarang belum tamat.
“Ia menyebabkan isteri terpaksa tinggal di rumah keluarganya, manakala saya berulang alik menziarahi isteri apabila tiada sesi penggambaran,” katanya.
Menurut Adam lagi, dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu tentang perkara itu dan hanya mengetahui tentang gosip itu selepas ia sudah tersebar.
Tambahan pula, gosip itu makin hangat diperkatakan apabila Fatin dikatakan telah memadam gambar mereka berdua daripada Instagram.
Namun, Adam akui dia tidak berasa kecil hati dengan tindakan isterinya itu.
“Saya tidak pernah kecil hati kerana saya faham benar perangainya. Dia akan padam gambar yang dirasakan sudah tidak perlu di Instagram. Lagipun dia ada dua akaun Instagram,” katanya dipetik Harian Metro.Â
Adam berkata, dia seakan dapat mengagak dan mengenali penyebar gosip terbabit dan tidak akan memaafkan individu berkenaan.
“Jujur saya tidak akan memaafkannya kerana tergamak menyebar fitnah dan memporak-perandakan rumah tangga saya sedangkan saya hanya bergurau ketika itu.
“Hanya dia seorang saja yang saya bercerita hal ini. Saya tak sangka dia sanggup berbuat demikian sehingga tergamak untuk masuk campur hal rumah tangga, keluarga mentua, anak dan isteri,” katanya, yang mula mendapat perhatian selepas muncul dalam filem Juvana.
Sebelum ini, perkahwinan mereka pernah diduga apabila Fatin ‘mengamuk’ di Instagram dengan mendedahkan perbualan teks antara Adam dengan seorang wanita. –Â MYNEWSHUB.CC