Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Jentera Cerucuk Besi Hempap...

KUALA LUMPUR - Pemaju projek pembinaan di Bandar Baru Bukit Raja, Klang diarah...

2 Bot Tangkap Ikan...

KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kota Kinabalu menahan...

KKM Rampas Produk Kesihatan,...

Kuala Lumpur : Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 531 ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik...

Agong Zahir Penghargaan Sokongan...

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan...

ADUN Nenggiri, Dakwa Speaker Tak Ikut Peraturan

GUA MUSANG – Datuk Mat Yusoff Ab Ghani yang diisytihar muflis, mendakwa masih anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berikutan tindakan Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu tidak mengikut peraturan dan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Mat Yusoff berkata Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri itu hanya berdasarkan Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang menyatakan seseorang yang muflis dan masih belum diselesaikan tidak layak menjadi anggota DUN Kelantan.

“Sebaliknya Perkara 32 dalam perlembagaan sama tidak diambil kira, yang menyebut mana-mana masalah berbangkit sama ada Ahli Dewan (Undangan) Negeri menjadi tidak layak daripada menjadi ahlinya maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah jadi yang muktamad,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Khamis lepas, Abdullah mengisytiharkan Mat Yusoff tidak layak menjadi anggota DUN Nenggiri kerana muflis sekali gus menjadikan kerusi DUN itu kosong.

DUN Kelantan menerima surat pemakluman daripada Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Selangor pada 28 Mei lepas yang memaklumkan Mat Yusoff dari Barisan Nasional (BN) telah muflis.

Mat Yusoff berkata beliau telah menghubungi Abdullah bagi bertanyakan surat dikeluarkan kepadanya berhubung pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Nenggiri tetapi dimaklumkan tidak ada surat.

Beliau mendakwa tindakan speaker membuat pengisytiharan menerusi media berniat bagi menjatuhkan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN) tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan sehingga hari ini beliau belum menerima surat pengesahan berhubung perkara itu.

Ditanya status muflis yang dihadapinya, Mat Yusoff mengakui masih mempunyai hutang tertunggak dengan sebuah bank, tetapi dalam proses untuk diselesaikan secara berperingkat.

Katanya hutang perniagaannya itu dibuat sebelum beliau menjadi wakil rakyat DUN Nenggiri tiga penggal sejak 2004 dan sebahagian besarnya telah dilunaskan hanya tinggal baki sedikit sahaja lagi.


“Saya telah memohon kepada bank berkenaan bagi menangguhkan dahulu bayaran baki hutang itu kerana masalah tekanan ekonomi sekarang dan perniagaan juga perlahan.

“Bukan saya tak mahu bayar memang dalam perancangan mahu melunaskan kesemua hutang itu dan bank menolaknya. Saya tak sangka berlaku begini hingga menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Beliau juga memohon maaf kepada pucuk pimpinan parti sama ada peringkat pusat dan negeri serta rakyat DUN Nenggiri berhubung perkara itu kerana ia adalah masalah peribadi.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Abdullah ketika dihubungi bagi mengulas perkara tersebut berkata beliau hanya mengisytiharkan Mat Yusoff tidak layak menjadi anggota DUN Nenggiri selepas menerima surat pemakluman daripada Jabatan Insolvensi berkenaan yang menyatakan Mat Yusoff muflis.

“Surat berkaitan perkara itu tidak perlu dihantar kepadanya (Mat Yusoff) hanya cukup dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengenai dakwaan tidak mengikut Perkara 32 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, Abdullah berkata sidang DUN Khas bagi membincangkan perkara tersebut tidak diadakan kerana hampir dengan sidang DUN yang dijadual diadakan pada awal bulan depan.

“Sidang DUN pada awal bulan depan akan membincang dan memutuskan perkara tersebut (kekosongan DUN Nenggiri),” katanya. – BERNAMA

Kategori