KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru pimpinan Pakatan Harapan supaya mengurangkan amalan politik personaliti (politik peribadi).
Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen berkata, Pakatan Harapan sepatutnya memberi tumpuan kepada politik yang berteraskan polisi.
Katanya, rata-rata pengundi di Malaysia kurang mengambil peduli siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, tetapi mengambil berat tentang pengagihan kekayaan untuk mereka.
“Pakatan Harapan seharusnya berterusan menambah baik situasi dan polisi membina di negeri Selangor dan Pulau Pinang.
“Rata-rata pengundi Malaysia bukanlah tertumpu pada isu penggantian Perdana Menteri atau kabinet baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Wong Chen berterima kasih kepada Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana didakwa membina dan memuktamadkan polisi yang dibawa.
Katanya, Rafizi telah meluncurkan buku ‘Panduan Bina Semula Negara’ yang mengandungi dokumen-dokumen polisi yang mudah difahami.
Antara dokumen itu adalah untuk menghadkan tempoh mandat Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Semalam, Wanita PKR mengingatkan Rafizi bahawa Ahli Parlimen Pandan itu masih jauh daripada layak untuk menjadi calon Perdana Menteri pembangkang.
Ketua Komunikasinya, Carolyn Khor berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad masih calon ‘heavyweights’ pembangkang untuk memegang jawatan itu.
Pakatan pembangkang sedang berkecamuk mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika parti terbesar kaum Melayu UMNO berjaya ditumbangkan dalam PRU akan datang.
Pakatan pembangkang dibarisi oleh DAP, PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) yang menganggotai Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
PKR sebelum ini memaklumkan Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi Perdana Menteri sementara sebelum Anwar dibebaskan dari penjara.
Sebilangan penyokong DAP pula didakwa mahu Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng menjadi Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Desas-desus tentang rundingan belakang PKR dan DAP itu semakin ketara apabila risalah mengenai draf Kabinet Pakatan Harapan tersebar dalam perhimpunan PKR baru-baru ini.
Draf itu menyaksikan Wan Azizah selaku Perdana Menteri, manakala Guan Eng bakal mencatat sejarah menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama bukan Melayu, namun dinafikan PKR.
Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini turut menawarkan diri menjadi Perdana Menteri tetapi dibantah oleh Anwar.
Penyokong PAN turut tidak ketinggalan apabila sebilangan mereka difahamkan sedang berusaha menggangkat Presidennya, Mohamad Sabu menjadi calon Perdana Menteri. – MYNEWSHUB.CC