KUALA BERANG – Volum kenderaan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dijangka meningkat kira-kira empat kali ganda sepanjang musim perayaan ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata pihaknya menganggarkan kira-kira 600,000 kenderaan akan menggunakan laluan berkenaan untuk pulang ke kampung halaman.
Sehubungan itu bagi melancarkan aliran trafik, pihaknya turut menempatkan pegawai dan anggotanya di sepanjang laluan berkenaan dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pada tahun lalu kira-kira 500,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut dan tahun ini kami jangka jumlah itu meningkat berbanding hari-hari biasa…aliran dijangka sesak pada 22 Jun (hari ini) sehingga 2 Julai.
“Susulan peningkatan jumlah kenderaan itu, kami juga tidak menolak kemungkinan kesesakan akan berlaku khususnya di laluan keluar seperti Plaza Tol Gemuroh,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 11/2017 di Plaza Tol Ajil, di sini, semalam.
Majlis perasmian kempen disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu Roslee Daud.
Aidi berkata pegawai dan anggota trafik juga akan ditempatkan di laluan keluar bagi mengatasi masalah kesesakan berkenaan dan mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu.
Jelasnya pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan seperti had laju, memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan dan kesalahan lain.
Menurutnya selain LPT 2 kesesakan juga diramal berlaku di tujuh laluan lain melibatkan daerah Kuala Terengganu, Besut dan Setiu.
Di daerah Kuala Terenganu iaitu Jalan Sultan Mohamad, Jalan Tengku Mizan, Bulatan Batu 6 menghala ke Banggol Air Lilih dan Plaza Tol Kuala Terengganu manakala dua di Setiu (Persimpangan Chalok dan Persimpangan Guntung Luar) dan Pekan Jertih di Besut.
Dalam perkembangan lain Aidi berkata hanya 10 peratus daripada 3,474 pegawai dan anggota polis Terengganu dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri pada tahun ini.
Katanya daripada jumlah itu, 530 orang termasuk 188 pegawai dan anggota trafik ditugaskan untuk mengawal lalu lintas.
“Selain tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya, penugasan pegawai dan anggota diharapkan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kes kematian.
“Anggota dari cawangan lain juga turut digerakkan bagi menbendung jenayah lain terutama pecah rumah dan curi sepanjang penghuni pulang ke kampung,” katanya. – BERNAMA