KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar setakat pukul 10 malam ini.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berkata aliran trafik arah ke selatan lancar, namun bagi arah utara, trafik agak perlahan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar kerana berlaku kemalangan di KM253.9.
“Tiada lorong yang terhalang dan kenderaan yang mengalami kemalangan sudah dialihkan.
“Trafik turut bergerak perlahan dari Kuala Kangsar ke Bukit Gantang akibat peningkatan jumlah kenderaan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan tiada kesesakan dilaporkan berlaku di lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA