KUALA LUMPUR – Aliran trafik di semua lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 12 tengah hari ini berikutan ramai warga kota pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, hujung minggu ini.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama berkata keadaan trafik bergerak perlahan menghala ke arah utara manakala perjalanan ke selatan masih lancar.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur juga perlahan namun terkawal pada tengah hari ini.
“Aliran trafik di lebuh raya lain termasuk terowong Genting Sempah ke Bukit Tinggi bergerak perlahan namun trafik menuju ke selatan tanah air masih lancar,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA