KUALA LUMPUR – Selepas diketepikan ekoran masalah kecergasan dua tahun lepas, atlet gimnastik berirama (gimrama) negara, Amy Kwan Dict Weng berazam mahu memberikan persembahan terbaik pada penampilan sulungnya di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Amy, 22, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland berkata kecergasannya kini berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara pada temasya dwi tahunan yang akan berlangsung pada 19-30 Ogos ini.
Beliau yang teruja serta bersemangat untuk penampilan pertamanya di laman sendiri berkata fokusnya kini hanya tertumpu kepada segala persiapan dan latihan bagi melakar kejayaan sekali gus membantu Malaysia merealisasikan misi untuk muncul juara keseluruhan.
“Saya terpaksa berehat panjang selepas melalui dua pembedahan pada September dan November 2014 sejurus pulang dari Glasgow sehingga tidak dapat kembali ke tahap kecergasan terbaik, seterusnya gagal menempatkan diri dalam senarai akhir pasukan.
“Kini, saya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran di Sukan SEA . Saya hanya mahu berikan persembahan terbaik untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita padaProgram Kita Juara 2017 bersama skuad gimrama di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, semalam.
Dalam pada itu, Amy mengakui beraksi di hadapan penyokong sendiri sedikit memberi tekanan kepadanya.
“Tak dinafikan walaupun saya teruja namun ada sedikit perasaan gementar. Tetapi saya harus mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan terutama Institut Sukan Negara (ISN) yang menyediakan segala yang diperlukan bagi mengatasi perasaan itu,” katanya
Skuad gimrama negara akan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sebagai persiapan terakhir menghadapi Sukan SEA antaranya Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia di Kazakhstan pada Jun dan Piala Cabaran Dunia Masters Persekutuan Gimnastik Antarabangsa 2017 di Berlin, Jerman pada Julai.
Untuk rekod, skuad gimrama negara berjaya membawa pulang dua emas dan satu perak pada edisi Sukan SEA 2015 di Singapura. – BERNAMA