MELAKA – Dua anak kapal KM Avatar yang dilaporkan hilang selepas kapal dagang itu karam di perairan Tanjung Kling semalam, ditemukan pagi ini dengan seorang daripadanya selamat dan seorang lagi meninggal dunia.
Penolong Pegawai Operasi Maritim Daerah Maritim 5 Kuala Linggi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lt Madya Maritim Rahmat baharom berkata kedua-duanya ditemukan 11.8 batu nautika dari Tanjung Bruas dekat sini pada 10 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Kedua-duanya dibawa ke Jeti Kampung Hailam, Tanjung Kling dan akan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 10.30 pagi.
Dalam kejadian 9.25 pagi semalam, KM Avatar, kapal kontena dari Indonesia karam di Selat Melaka dipercayai akibat dipukul ombak kuat.
Kapal itu membawa 15 anak kapal dan 13 daripadanya diselamatkan sebuah kapal dagang yang melalui lokasi kejadian manakala dua lagi yang dikenal pasti sebagai kapten kapal Samuel Andianto Henuk, 52 dan tukang masak Hermawan, 35 dilaporkan hilang. – BERNAMA