KUANTAN – Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Anih Berhad hari ini mengagihkan 1,000 pek juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh.
Ketua Unit Tanggungjawab Sosial Korporatnya, Hafizah Mohd Sabri berkata pengagihan pek juadah itu merupakan kali kedua diadakan selepas kali pertama pada 2 Jun lalu di R&R Genting Sempah.
“Ini merupakan kelainan kerana pada tahun lalu, Anih mengagihkan kurma dan kuih raya. Pengagihan ini dilakukan di dua lokasi tumpuan dan paling kerap dilalui pengguna, di R&R Genting Sempah dan Temerloh.
“Pengguna lebuh raya yang dalam perjalanan pulang ke destinasi tetapi tidak sempat berbuka di kedai boleh memanfaatkan pek makanan berbuka puasa yang kami agihkan untuk berbuka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hafizah berkata selain pengagihan pek juadah itu, Anih Berhad juga mengagihkan 20,000 pek kurma sepanjang bulan Ramadan ini, sebagai tanda penghargaan syarikat itu kepada pengguna lebuh raya. – BERNAMA