GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan kelas B yang melanggar syarat lesen di kedudukan 5.7 batu nautika dan 6.2 batu nautika barat Pulau Kendi dekat sini, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Azman Samsudin berkata dua bot membawa dua tekong dan lima awak-awak berusia 23 hingga 64 tahun itu ditahan, masing-masing pada 2 dan 3 petang.
“Hasil pemeriksaan, kedua-dua bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat-syarat lesen. Bot nelayan kelas B sepatutnya melakukan penangkapan ikan kurang lapan batu nautika dari daratan terdekat,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata dua bot dan peralatan menangkap ikan serta 3,500 kilogram hasil laut yang ditangkap mereka dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan. – BERNAMA