KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pam disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan berdekatan Pulau Gaya, dekat sini semalam.
Pengarah APMM Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata bot berkenaan ditahan kira-kira 6.35 petang, ketika bot ronda APMM melakukan Operasi Sejahtera di perairan berkenaan.
“Semasa Bot Ronda Maritim Malaysia cuba menghampiri dan memintas, kedua-dua bot pam berkenaan memecut laju dan melarikan diri masuk ke kawasan pesisir pantai yang berbatu di Pulau Gaya. Kelihatan awak-awak membuang sesuatu objek seperti botol ke laut serta terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua bot berkenaan menemukan pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 140 kilogram serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengeboman ikan.
Sementara itu, Adam berkata pihaknya sangat memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah bom dan operasi secara berterusan akan dilakukan bagi membendung gejala itu
“Sehubungan itu, saya meminta komuniti maritim khususnya di daerah ini terus memberi maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan bagi memastikan perairan kita bebas daripada sebarang aktiviti jenayah khususnya membabitkan pengeboman ikan,” katanya. – BERNAMA