GEORGE TOWN – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menggunakan pekerja asing di kedudukan dua batu nautika barat Bagan Ajam dekat sini, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Azman Samsudin berkata bot peronda APMM menahan bot nelayan kelas A berkenaan pukul 2 petang dan pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong dan dua awak-awak warga Thailand.
“Tiga lelaki Thailand berusia antara 19 hingga 35 tahun itu dipercayai bekerja dengan pemilik bot warga tempatan dan pemeriksaan kami juga mendapati bot tersebut tidak mempamerkan lesen,” katanya di
sini hari ini.
Beliau berkata tiga lelaki itu ditahan dan bot nelayan itu dirampas untuk siasatan.
Katanya sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – BERNAMA