GARA-GARA melanggar lopak air, sebuah kereta Proton Wira hilang kawalan sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Felda Chiku 3, Gua Musang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa Mohamad Syahrul Rizal Che Ramli, 16, maut di tempat kejadian selepas kenderaan yang dinaiki bersama tiga rakannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Tiga rakan mangsa yang dikenali sebagai Afizi Nordin, 20, Mohamad Azamudin Mohamed, 20 dan Wan Rafiuddin Wan Razali cedera parah.
Tiga beranak yang menaiki Proton Iswara dikenali sebagai Haizan Hasmi, 47; Noriza Ab Azi, 46 dan Mohamad Alif Haikal Harizan dilaporkan parah.
Sementara itu, tiga beranak yang menaiki kereta Honda City iaitu Mohd Daud Abd Halim, 29, isterinya, Nur Ain Safini, 29 dan anak perempuan mereka, Nur Ain Amni Mohd Daud, 2, terselamat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang melanggar lopak air dan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, kenderaan berkenaan berlanggar dengan Proton Iswara dan Honda City dari arah bertentangan menyebabkan penumpang hadapan Proton Wira maut di lokasi kejadian.
“Jenazah mangsa yang maut akibat cedera parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kemalangan maut itu adalah yang pertama di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dalam tempoh Operasi Selamat musim perayaan bermula 18 Jun hingga 2 Julai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan.