IPOH – Bermula dengan hanya lima basikal klasik, seorang pesara Telekom kini memiliki koleksi 70 basikal lama pelbagai jenama, semuanya gara-gara sebuah basikal antik dalam simpanannya dicuri pada 2009.
Bahri Anshari, 61, berkata basikal jenama Phillips itu antara lima basikal klasik dalam koleksi terawalnya dan diperoleh daripada seorang warga emas yang kemudian dibaiki dan dipasang alat ganti tulen jenama Phillips.
“Pada 2009 saya mempunyai lima basikal klasik yang saya simpan di rumah, tetapi satu daripadanya telah dicuri semasa saya menghadiri kursus di Taiping.
“Saya dengan dibantu anak-anak mencari basikal itu di kedai-kedai lama, kedai potong tetapi gagal menemuinya. Sebaliknya jika terjumpa yang hampir sama kami beli dan mulai kumpul seterusnya menjadi satu hobi,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Hasilnya Bahri yang juga Pengerusi Kelab Sepeda Klasik Ulu Kinta Perak, kini mempunyai basikal antik pelbagai jenama antaranya Robin Hood, BSA (Birmingham Small Arms), Hercules, Humber, Rudge dan Raleigh Chopper.
Bercerita lanjut, beliau berkata ada antara basikal dalam simpanannya dihasilkan pada tahun 1892 dan basikal terbaharunya adalah jenama BSA yang dibeli di Jogjakarta, Indonesia dengan anggaran usia 70 tahun.
Bahri berkata antara kegemarannya ialah lima basikal posmen lama yang dibeli pada 2010 dengan harga RM15 setiap satu tetapi kini ada yang menawarkan harga ribuan ringgit kepada beliau.
“Saya enggan jual kerana basikal ini saya sering guna untuk mengiringi pengantin disebabkan ia mempunyai siren untuk beri tahu kepada orang ramai pengantin telah tiba.
“Begitu juga dengan basikal lain, saya tidak akan jual kerana memikirkan kalau saya jual adakah ia (basikal itu) saya akan dapat lagi,” katanya sambil menambah minatnya turut disokong oleh isteri Zuraidah Hamzah, 59 dan empat anak mereka.
Mengenai kos, Bahri berkata harga basikal yang dibeli tidak menentu bergantung kepada jenis dan keadaannya manakala untuk penyelenggaraan yang dilakukan dua bulan sekali beliau memperuntukkan sebanyak RM300.
Katanya ketika ini, Kelab Sepeda Klasik Kinta Perak mempunyai kira-kira 50 anggota dan mereka sering dipanggil untuk membuat pameran atau mengikuti perhimpunan basikal antik seluruh negara.
Bagaimanapun, Bahri berkata dia tidak berminat untuk menyertai sebarang pertandingan ‘Basikal Tercantik’ kerana katanya basikal yang terlibat sudah hilang unsur-unsur klasik dan antik apabila ia dikilatkan.
“Pada saya basikal klasik dan antik perlu mengekalkan nilai-nilai klasik termasuk warna karat, kesan-kesan calar lama atau aksesori yang ada padanya,” katanya. – BERNAMA