WASHINGTON DC – James Comey hari ini mendakwa diganggu oleh cubaan Presiden Donald Trump untuk menggugurkan siasatan terhadap bekas penasihat keselamatan negara.
Bagaimanapun, bekas pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) itu tidak menyatakan sama ada beliau menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu cuba menghalang proses keadilan.
Comey memberitahu penggubal undang-undang dalam prosiding perbicaraan Kongres AS paling dinanti sejak sekian lama, pentadbiran Trump berbohong serta memfitnah beliau dan FBI selepas Trump memecatnya pada 9 Mei.
Dalam kenyataan bertulis yang dikeluarkan hari ini, Comey berkata, Trump memintanya menggugurkan siasatan FBI ke atas bekas penasihat keselamatan negara, Michael Flynn, pada Februari lalu.
Ia sebagai sebahagian daripada proses siasatan terhadap dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden AS pada tahun lalu yang secara mengejut dimenangi Trump mengatasi calon pilihan, Hillary Clinton.
“Saya tidak fikir perbualan saya dengan presiden adalah satu usaha untuk menghalang. Saya menganggapnya sebagai perkara yang sangat mengganggu, membimbangkan,” kata Comey.
Perbicaraan itu boleh memberi kesan ketara ke atas kedudukan Trump ketika peguam khas Robert Mueller dan beberapa jawatankuasa Kongres menyiasat usaha Rusia mempengaruhi pilihan raya presiden 2016.
Mereka juga menilai sama ada kempen Trump bersekongkol dengan Moscow. Rusia menafikan pembabitan itu manakala Rumah Putih menyangkal sebarang pakatan sulit. – Reuters/BH ONLINE