BEKAS Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar disahkan meninggal dunia pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak.
Allahyarham yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 8.35 pagi dalam usia 69 tahun akibat jangkitan kuman dan paru-paru.
Raja Ahmad Zainuddin juga bekas Pengurus Pasukan Bola Sepak Perak yang banyak menyumbang bakti kepada pembangunan sukan bola sepak negeri sehingga digelar pengurus skuad ‘The Boss Gaurus’ paling berjaya.
Menerusi laman rasmi Facebook Perak TBG, jenazah allahyarham kemudian dibawa pulang ke kediaman beliau di Ampang, Ipoh sebelum disemadikan selepas solat fardu Jumaat.
“Seluruh warga kerja Pafa, pemain dan penyokong pasukan Perak The Bos Gaurus mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga bekas Timbalan Presiden Pafa dan bekas Naib Presiden FAM.
“Allahyarham Raja Ahmad Zainuddin yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 8.35 pagi ini di KPJ Ipoh,” tulis Perak TBG dalam kenyataan menerusi laman Facebook.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara, Ipoh. Selain khidmat bakti dalam sukan bola sepak, Allahyarham turut berkecimpung aktif dalam dunia politik tanah air.
Beliau malahan pernah dipilih untuk menjadi Ahli Parlimen Larut dari 1999 hingga 2008 selain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah dan Batu Kurau. – MYNEWSHUB.CC