KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan dinasihat berhenti rehat selepas empat jam memandu tanpa henti kerana kajian menunjukkan kadar tumpuan seorang pemandu hanya bertahan sehingga tempoh itu sahaja.
Nasihat itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Kulanthayan KC Mani khususnya kepada pemandu kenderaan pada musim perayaan Aidilfitri ini bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Pengguna juga disaran untuk bertukar pemandu agar tidak mengalami keletihan berpanjangan, sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama News Channel di sini, hari ini.
Katanya, mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 521,446 kes kemalangan dicatatkan pada tahun 2016, dengan 7,152 kematian, dan kadar satu kematian bagi setiap minit.
“Hampir 60 peratus kemalangan melibatkan penunggang motosikal, 20 peratus pemandu kereta, 10 peratus pejalan kaki dan baki 10 peratus melibatkan bas, basikal, lori dan van,” katanya.
Kulanthayan turut menyarankan agar pengangkutan awam dijadikan pilihan utama bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
Selain risiko kemalangan kecil melibatkan bas, katanya jumlah kenderaan di atas jalan raya juga dapat dikurangkan memandangkan bas boleh memuatkan 44 penumpang, dan ia memerlukan sekurang-sekurangnya 10 kereta untuk memuatkan jumlah penumpang sama.
“Jika ingin guna kereta sendiri, pemandu itu perlu menitikberatkan aspek keselamatan seperti memakai tali pinggang keledar, bukan sekadar pemandu malah semua penumpang dan kurangkan had kelajuan,” katanya.
Beliau turut berkata kemungkinan pengguna jalan raya lebih berhati-hati kali ini berikutan pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) pada 15 April lepas.
“Ia merupakan satu langkah intervensi yang optimum dan sikap pengguna jalan raya akan berubah, dengan adanya penguatkuasaan ini, mungkin mereka rasa ‘diperhatikan’.
“Sekali lagi diingatkan jangan lupa pakai tali pinggang keledar dan pastikan tali itu menyentuh bahu anda, kurangkan kelajuan, henti rehat jika pandu lebih empat jam, dan sentiasa peka dengan keadaan jalan mahupun pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – BERNAMA