PELAKON Zain Saidin memberitahu kehilangannya dari dunia hiburan sejak tahun lalu bukan kerana merajuk, tetapi dia mahu memberikan tumpuan kepada jenama kasutnya, Zapatos by Zain Saidin yang semakin dikenali.
Tambah Zain, bayaran yang diterimanya sebagai pelakon tidak setimpal dan ia merupakan salah satu punca yang menyebabkan dia beralih arah kepada perniagaan.
“Berlakon hanya boleh kaya sementara tetapi perniagaan boleh memberikan pulangan yang berlipat ganda, cuma kita perlu berusaha keras.
“Bukannya saya ‘demand’ atau merajuk, tetapi itulah realiti hiburan dan saya perlu melakukan perkara lain dan tidak hanya fokus kepada lakonan sahaja.
“Kadang-kadang saya dapat tawaran untuk menyampaikan ceramah selama dua jam, dan bayaran yang diberi sama dengan hasil lakonan selama seminggu. Anda nilaikan sendiri,” kata Zain kepada mStar Online.
Namun begitu, ia tidak bermaksud Zain tidak akan berlakon sama sekali sebaliknya akan menerima tawaran sekiranya bayaran yang diberikan berbaloi dan setimpal.
“Sebelum ini pun ada juga saya buat projek kecil selain daripada beberapa projek yang melibatkan keluarga saya.
“Saya bukan meninggalkan terus dunia lakonan cuma saya tahu harga saya dalam pasaran dan hendak tunggu ia naik, mungkin tidak akan berlaku.
“Kalau ada tawaran yang setimpal, apa salahnya?” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC