JIKA anda memang sedang dalam kesempitan wang dan dah tak makan sejak berminggu-minggu lamanya, mungkin restoran ini boleh menjadi destinasi makan malam anda selepas ini.
Sebuah restoran di Jepun yang diberi nama Gold Curry menawarkan satu keistimewaan buat pelanggan mereka, di mana ganjaran wang tunai sebanyak AS$900 (RM3,850) akan diberikan kepada mereka sekiranya boleh menghabiskan hidangan ‘gergasi’ restoran tersebut.
Namun tak semudah itu untuk memenangi ganjaran tersebut, ada syaratnya di mana pelanggan cuma perlu menghabiskan 10 kilogram nasi dan lauk kari dalam masa sejam.
Agak mustahil bukan untuk menghabiskan 10 kg nasi dalam masa kurang dari sejam?
Jangan bimbang, restoran ini tidaklah terlalu zalim, ini kerana mereka turut menawarkan peringkat pertandingan yang lebih mudah.
Pelanggan mungkin boleh berlatih dengan mengambil sajian dua kg nasi bersama kari yang perlu dihabiskan dalam tempoh masa 15 minit. Jika berjaya habiskan hidangan tadi, pelanggan tak perlu bayar apa-apa.
Selain dua kg nasi, terdapat juga hidangan untuk enam kg dan lapan kg nasi yang perlu dihabiskan dalam tempoh 30 minit; sekiranya berjaya, pelanggan boleh jimat wang sebanyak AS$72 (RM309) untuk satu hidangan tersebut.
Selain di Jepun, Gold Curry turut mempunyai cawangan di Bangkok, Thailand. – MYNEWSHUB.CC