LANGKAWI – Seorang kanak-kanak ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Tembok, Klim, awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.05 pagi itu, kanak-kanak lelaki yang berusia lapan tahun tersebut dipercayai terperangkap ketika struktur bangunan terbabit mula terbakar.
Kejadian tersebut turut menyebabkan bapa mangsa cedera selepas sempat menyelamatkan diri.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd. Nor berkata, seramai tiga pegawai dan 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi bergegas ke tempat kejadian pada 3.21 pagi.
Menurut beliau, usaha untuk memadamkan kebakaran segera dilakukan dan api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 3.33 pagi.
“Mayat kanak-kanak tersebut ditemui rentung namun identiti mangsa, yang belum dikenal pasti itu diserahkan pula kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an mengalami cedera ringan di kepala dan turut dikejarkan ke Hospital Langkawi di Kuah untuk menerima rawatan,” katanya.
Jelasnya, punca kejadian tersebut masih lagi dalam siasatan. – MYNEWSHUB.CC