KOTA BHARU – Seorang buruh maut manakala dua lagi parah selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di Kampung Kubang Tin, Melor, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP, Ismail Mat Sidik berkata dalam kejadian 2.15 pagi itu, Mohamad Shahrul Nizam Ahmad, 19, yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Melor, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.
Beliau berkata dua rakannya, yang menunggang motosikal berasingan – Mohammad Azhar Ramli,18 dan Saiful Amry Ismail, 17, mengalami kecederaan parah manakala pemandu kereta, Mohd Hafizuddin Husni, 30, tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak berikutan jarak yang terlalu dekat dengan kereta tersebut,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama. – BERNAMA