SINGAPURA – Setelah menutup restoran 1 Market by Chef Wan yang terletak di Plaza Singapura pada akhir Jun 2016, Chef Wan kembali membuka sebuah premis makanan di republik itu.
Kali ini cef selebriti terkenal Malaysia itu bakal membuka sebuah restoran baharu di Singapura – lebih tepat lagi di kawasan Esplanade!, yang diberi nama ‘Chef Wan’s Kitchen’ selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Ia sekali gus mengubat kerinduan warga Singapura yang sebelum ini agak ‘berduka’ ekoran penutupan restoran kendalian berimej beliau tahun lalu di kawasan tumpuan Orchard Road itu setelah dibuka sejak November 2012.
Agensi berita tempatan MediaCorp melaporkan, ramai terkejut dengan berita ini, kerana pemilik nama Redzuwan Ismail dan berusia 59 tahun itu bertegas menutup restoran 1 Market by Chef Wan disebabkan isu kualitinya.
Namun beberapa minggu lepas, cef popular itu sempat memuatkan posting menerusi Instagram rasmi bahawa beliau sudah bersedia kembali ke Singapura dengan satu usahasama bersama pelabur serta rakan kongsi baru.
Lokasi baru kali ini bertempat di Esplanade yang turut menempatkan beberapa restoran lain. Mediacorp turut menghubungi cef terkenal itu menerusi panggilan ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan perincian dari beliau.
Beliau secara kebetulan ketika itu masih lagi sibuk menjalani sebuah rakaman program stesen televisyen terkini tempatan yang berjudul Selera Rasa Seksa. tetapi berjaya dihubungi bagi mendapatkan kepastian berita tersebut.
“Saya memang inginkan mempunyai restoran di kawasan utama macam Esplanade. Lokasinya bagus. Saya tengok di situ ada pelancong asing tapi dari segi makanan halal, kurang. Lebih-lebih lagi makanan Melayu kita.
“Jadi saya terfikir mengapa tidak buat restoran di situ,” cerita selebriti kelahiran Singapura itu. Secara kebetulan, pelabur dan rakan kongsi baru beliau memaklumkan kepadanya tentang restoran mereka yang “tidak menjadi”.
Mereka jugalah menyarankan Chef Wan untuk bersama-sama membuka sebuah restoran yang diberi nama Chef Wan’s Kitchen, di Esplanade berdasarkan kisah pengalaman beliau sebelum ini yang menutup restoran di sini.
Cuma buat masa sekarang ini, beliau belum bersedia untuk berkongsi identiti pelabur serta rakan kongsi terbarunya untuk restoran di Esplanade: “Saya tak gemar menyebut mereka itu orang Cina atau Melayu ke.
“Mereka lebih senang untuk tidak dikenali. Mereka banyak pengalaman sebab memiliki pelbagai restoran di sekitar Singapura. Saya tengok pengalaman mereka dan cakap oklah kita cuba sama-sama,” jelas Chef Wan.
Bezanya kali ini, Chef Wan menjadi rakan kongsi untuk restoran yang dijangkakan beroperasi selepas Syawal. Selain itu, terdapat juga ura-ura untuk perniagaan mereka dikembangkan lagi.
Mengapa pula Chef Wan memilih untuk menjadi rakan kongsi kali ini dengan pembukaan Chef Wan’s Kitchen nanti? Sedangkan, bagi restoran 1 Market beliau sebelum itu hanya setakat ‘meminjamkan’ namanya sahaja.
“Saya rasa restoran lebih kecil senanglah nak uruskan. Tak macam dulu restoran itu besar. Mengapa tidakkan?” terangnya ringkas. Restoran tersebut dijangka boleh menampung seramai 100 hingga 120 pelanggan.
Ia bakal menyajikan pelbagai menu ala carte, tidak seperti sajian buffet di restoran lama itu. Menjadi rakan kongsi kali ini padanya memudahkan untuk “ada suara” dan membenarkan buat keputusan dalam pengurusan restoran.
Menu yang bakal disajikan akan turut merangkumi masakan-masakan yang beliau tampilkan untuk buku-buku masak beliau. Antaranya, ‘400 Resipi Terbaik Chef Wan’, ‘The Best of Chef Wan: A Taste of Malaysia’.
Beliau sempat berseloroh: “Ada juga dari buku masak kita, apa yang awak tengok kat televisyen, kita masak macam tu, kalau sedap, sedaplah.” kata Chef Wan sambil tidak menafikan setiap perniagaan pasti ada risikonya.
Kekadang, menu disajikan tidak sesuai. Makanya beliau mengambil pendekatan ‘trial and error’ untuk Chef Wan’s Kitchen nanti. Beliau sendiri akan turun padang untuk melatih kesemua cef yang menjadi tenaga kerja restoran.
Seperti sebelum ini juga, Chef Wan menambah beliau akan turut berada di restoran tersebut untuk menemui peminat-peminatnya yang pastinya gembira bertandang ke restoran untuk menjamu selera.
Yang penting, perniagaan di lokasi yang baharu itu dijangkakan lebih mencabar disebabkan restoran beliau itu bukan sahaja harus bersaing dengan restoran-restoran hebat lain yang sedia ada di Esplanade.
Chef Wan juga menaruh harapan, restoran baharunya itu akan dapat menarik perhatian pengunjung-pengunjung asing yang ke Esplanade, selain daripada para pelanggan Melayu.
Beliau sebelum ini marah dengan pihak pengurusan restoran 1 Market. Jadi, tidakkah Chef Wan berasa serik buka lagi restoran di Singapura?: “Eh takdelah, merepek saja. Meniaga tak boleh serik. Kalau serik, kita tak meniaga.”
“Dalam dunia perniagaan, sentiasa ada jatuh bangun kan? Kekadang dari kesilapan yang lalu tu buat kita lebih prihatin dan boleh hasilkan keputusan lebih baik lagi InsyaAllah,” tambahnya lagi penuh yakin.
Yang pasti, para penggemar makanan di Singapura ini tidak sabar menantikan kemunculan Chef Wan’s Kitchen untuk ‘berasap’. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA