LONDON – Davey Lambert meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perlumbaan Trofi Pelancong Isle Of Man TT 2017 dekat sini.
Lambert yang berasal dari Gatehead, mengalami beberapa kecederaan parah selepas tercampak daripada jentera Kawasaki 1,000cc yang ditunggangnya di Greeba Castle, lapor stesen BBC.
Mendiang yang berusia 48 tahun itu terbabit dalam kemalangan tersebut pada pusingan ketiga dalam perlumbaan enam pusingan Mountain Course.
Lambert yang teruk selepas terpelanting kemudiannya diterbangkan ke Hospital Nobles sebelum dipindahkan pula ke Hospital Aintree di Liverpool.
Dia sebelum ini pernah menyertai perlumbaan Manx Grand Prix pada trek perlumbaan yang sama. Ia dianggap antara sukan bermotor paling berbahaya di England dan dunia.
Sebagai rekod, perlumbaan ekstrem yang dilangsungkan di atas jalan raya biasa di pulau ini telah meragut nyawa lebih 250 pelumba sejak diperkenalkan pada 1907.
Pihak penganjur perlumbaan ACU Events LTD dalam satu kenyataan turut menyampaikan ucapan simpati mereka kepada pasangan Lambert, Tracey, keluaga dan rakan-rakannya. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=Jvjlmf9RG7A