KUALA LUMPUR – “Sahur tadi makan apa?” antara topik yang popular dibincangkan dalam kalangan rakan pejabat setiap kali bulan Ramadan selain daripada menu berbuka puasa.
Ada yang rajin memasak sebelum fajar kerana ingin menghidangkan menu baharu buat keluarga ketika sahur dan ada juga gemar memanaskan sahaja lauk berbaki berbuka puasa.
Hakikatnya, pelbagai cara dilakukan umat Islam dalam mengejar ganjaran pahala amalan bersahur selain membezakan ia antara ibadat puasa orang Islam dengan ahli kitab (Yahudi dan Kristian).
Bagaimanapun, ada juga yang cenderung tidak bersahur disebabkan terlalu letih, mengantuk dan tidak larat bangun selepas seharian bekerja.
Akibatnya, badan jadi lesu, lemah dan tidak dapat memberikan tumpuan penuh terhadap kerja disebabkan tuntutan berpuasa selama 14 jam.
Senario ini yang kebanyakannya terjadi dalam kalangan warga bandar, menarik minat Siti Nur Aini Saad, 32, untuk menyediakan perkhidmatan yang dinamakan ‘delivery sahur’.
“Saya mendapat idea ini selepas melihat gaya hidup tidak sihat kenalan rapat yang gemar bersahur makanan segera. Bagi saya, ia sangat tidak menyihatkan serta mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.
Kepentingan pengambilan makanan berkhasiat mula menjadi fokus utama anak kedua daripada empat beradik ini selepas emaknya disahkan menghidap penyakit kronik setahun lepas.
Bermula sejak itu, corak pemakanan keluarga diubah dengan memberi penekanan diet seimbang dan penggunaan bahan-bahan organik dalam masakan mereka.
Malah, pengambilan makanan segera juga dikurangkan apabila mereka mula menyedari kepentingan penjagaan kesihatan tubuh badan adalah sebaiknya bermula dari peringkat awal lagi iaitu ketika umur masih muda.
Disebabkan itulah, beliau bimbang dengan gaya hidup yang diamalkan rakannya kerana ia berisiko menjejaskan kesihatan pada jangka masa panjang.
“Kebanyakan rakan saya (pelbagai bidang) sangat sibuk hingga makan pun tidak menentu kerana ada yang kena bekerja dari awal pagi sehingga lewat malam. Dan, kerana itu ramai merungut tidak ada masa untuk masak.
“Saya pula rajin gajak rakan-rakan datang ke rumah makan dan tidak kisah kerana memang suka masak. Bermula dari situ, mereka memberi cadangan agar saya membuat perkhidmatan ‘delivery sahur’ bagi memudahkan warga kota yang sibuk dengan tuntutan kerja,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Damansara.
Selain rakan, jiran tetangga di kawasan perumahannya, Damansara, turut memberi cadangan serupa kerana yakin dengan bahan segar digunakan Siti Nur Aini dalam masakan selain tidak menggunakan sebarang perasa tambahan atau MSG.
“Saya memang tidak gemar menggunakan apa-apa sahaja perasa tambahan atau tiruan dalam masakan sejak dari kecil lagi. Lagipun, emak saya menghidap sakit kronik dan kami seboleh-bolehnya elak daripada pengambilan perasa tambahan.
“Di surau kawasan kami pula, setiap minggu ada jamuan kecil ala-ala ‘potluck‘ pada malam Jumaat. Kebanyakannya suka dengan masakan saya dan turut mengesyorkan supaya membuat perkhidmatan penghantaran sahur,” katanya.
Perniagaan sahur menjadi pilihan Siti Nur Aini atau lebih dikenali sebagai Ryn kerana ia tidak banyak persaingan berbanding menu berbuka puasa selain perlu bekerja pada siang hari.
Menawarkan pelbagai jenis menu, antara yang popular adalah ayam/ikan/daging masak kari, rendang ayam mahupun daging kicap. Selain itu, beliau juga ada menawarkan menu masakan Cina seperti ayam/daging Kam Heong dan masakan barat.
Dijual pada harga RM5 ke atas (mengikut menu, kuantiti dan lokasi penghantaran), sambutan yang diterimanya setakat ini sangat menggalakkan.
“Setiap hidangan, saya akan pastikan ada sayur. Bagi saya, ini cara untuk mendidik masyarakat mengamalkan diet seimbang. Pada masa sama, saya juga ada menyediakan menu diet di mana setiap bahan akan dikira kalori dan dipaparkan pada label.
“Kadang-kadang orang jemu makan nasi ketika sahur . Mereka hendak makanan mudah tetapi dapat memberi kecergasan. Antara menu diet sahur popular adalah sandwich yang diadun dengan resepi istimewa,” katanya.
Disebabkan beliau bekerja, Ryn berkata perkhidmatan ‘delivery sahur’ hanyalah di sekitar kawasan Damansara dan yang berdekatan dengannya. Bagaimanapun, lokasi penghantaran diperluaskan pada hari minggu.
Pengambilan pesanan adalah di laman Facebook, Cik Rynn Saad, dan ia perlulah dipesan dua hari lebih awal bagi memudahkan proses pembelian dan penyediaan bahan.
“Oleh kerana saya bekerja, pengambilan pesanan dihadkan hanya lima pesanan sehari berbanding hari minggu. Proses masak bermula selepas solat terawih dalam pukul 10 lebih dan masa penghantaran adalah selewat-lewatnya pukul 1.00 pagi.
“Bagi memudahkan kerja, biasanya saya akan menyediakan semua bahan seperti kupas bawang, bersih ikan, ayam pada hari minggu. Dan, saya juga mencipta pes sendiri untuk mempercepatkan proses masakan,” katanya.
Hanya mengambil masa setengah ke satu jam untuk memasak, beliau berkata pes istimewanya itu amat mementingkan keenakan asli masakan selain tidak ada bahan pengawet dan perasa tambahan.
Ditawarkan dalam bentuk dua jenis pes iaitu mentah dan separa masak, antara pes yang dijual adalah kari hijau, masak lemak kuning, rendang, sambal tumis, ayam merah, nasi daging utara, asam pedas, briyani dan daging berempah.
“Pes mentah disediakan dalam tiga saiz, kecil, sederhana dan besar. Bagi saiz kecil, ia untuk hidangan dua atau tiga orang, sederhana untuk lima orang manakala besar untuk 10 orang.
“Pes mentah adalah bahan utama yang dikisar dan dicampur dengan rempah, bawang atau apa sahaja bergantung sesuatu masakan.
“Ia belum dimasak dan sesuai bagi mereka yang pandai memasak tetapi tiada masa untuk menyediakan bahan-bahan tumis. Manakala, pes separa masak adalah bahan masakan yang dimasak sekejap dan sesuai bagi mereka yang tidak mahir masak,” katanya.
Beliau yang kini dalam proses mengkomersialkan pes itu ke pasaran lebih luas berkata harganya bermula daripada RM5 ke atas (bergantung kuantiti) dan dijual dalam medium sama seperti ‘delivery sahur’, Facebook. – BERNAMA