KUALA TERENGGANU – Kedatangan bulan Ramadan memberi peluang umat Islam membuat pelbagai amalan bagi menggandakan pahala masing-masing dan amalan bersedekah atau Infaq merupakan satu daripada ‘ladang pahala’ yang dimaksudkan.
Tidak mahu ketinggalan untuk meraih keberkatan bulan Ramadan yang hanya berbaki beberapa hari lagi, sepasang suami isteri dan juga beberapa individu berganding bahu menjalankan ‘infaq Ramadan’.
Ia dengan mengedarkan juadah berbuka puasa ‘tortilla’ secara percuma kepada orang ramai yang melalui Kampung Merbau Patah, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, dekat sini sejak enam hari lalu.
Dr. Norzila Tengah @ Abd Rashid, 43, berkata tahun ini merupakan tahun pertama penglibatan beliau, suami, Muhammad Rushdi Salleh, 46, serta anak-anak dan rakan-rakannya dalam pemberian juadah secara percuma itu.
Pemberian itu yang turut mendapat kerjasama petugas Angkatan Pertahanan Awam Terengganu dilaksanakan sempena setahun keluarganya mengusahakan perniagaan trak makanan ‘Makang Sedak’.
Meskipun dihambat waktu antara tugas hakiki sebagai doktor, Norzila atau mesra disapa Kak Uji tetap gigih menyedia dan mengedar juadah itu kerana ia mendatangkan kepuasan kepada dirinya dan keluarga dapat berbakti kepada masyarakat.
Justeru katanya bulan Ramadan ini merupakan waktu yang sesuai untuk beliau dan anggota keluarganya melaksanakan Infaq Ramadan di samping mempromosikan menu perniagaan trak makanan mereka.
“Pada kebiasaannya di bulan Ramadan orang suka bersedekah bagi bubur lambuk, tapi kami edar roti tortilla berinti ayam kepada orang ramai yang melalui jalan ini bermula 17 Jun lalu hingga semalam.
“Dan sebenarnya menu roti tortilla ini juga adalah antara menu jualan terlaris dalam perniagaan trak makanan kami, jadi ia juga strategi serampang dua mata kami memperkenalkan perniagaan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas selesai mengedarkan juadah itu kepada orang ramai di sini. Dalam tempoh enam hari sebanyak 3,000 keping tortilla berjaya diedarkan dengan kos kira-kira RM10,000.
“Pada hari pertama saya ada sedikit rasa bimbang jika ia tidak dapat sambutan kerana kami hanya guna plakad bertulis ‘Tortilla Percuma’ untuk menarik perhatian pengguna jalan raya supaya berhenti dan ambil tortilla kami.
“Alhamdulillah, walaupun ia agak mudah tapi misi kami berjaya dan setiap hari tortilla yang diedarkan bermula pada pukul 5.30 petang akan habis diedar dalam masa 15 minit.
“Pada masa yang sama juga dengan cara ini kami sebenarnya mendidik anak sulung kami, Nawwal Syafiqah, 18, selok belok ilmu perniagaan kerana Insyaallah beliau yang akan mewarisi perniagaan ini nanti,” katanya.
Norzila berkata operasi perniagaan trak makanannya akan disambung kembali selepas perayaan Aidilfitri di PB Square iaitu dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan info lanjut mengenai menu-menu yang disediakan, boleh layari Facebook “Makang Sedak’. – BERNAMA