LEBIH dua juta nyawa penduduk Yaman berdepan maut akibat krisis kebuluran. Konflik perang saudara yang tercetus sejak September 2015 nampaknya tidak akan selesai. Sejak dua tahun lalu, campurtangan Arab Saudi dan Iran menjadikan Yaman kubur pembunuhan terbuka sesama Islam.
Menurut Pemerhati PBB, Jamie McGolbrick lebih 10 ribu nyawa terkorban sejak konflik tercetus. Manakala 40ribu mengalami kecederaan. Perang tidak menampakkan sebarang tanda akan berakhir ketika Riyadh dan Tehran meningkatkan campurtangan.
Terbaharu dunia digerakkan dengan maklumat krisis taun di Yaman. Itu pun kerana drama Arab Saudi menghulurkan bantuan RM250 juta bagi membantu krisis taun yang makin teruk.
Arab Saudi memimpin Tentera Gabungan menyokong Presiden Mansour Hadi, manakala Iran menyokong pemberontak Syiah Houti. Akibat percaturan jahat ini, 19 juta rakyat Yaman berdepan krisis kemanusiaan.
Jadi jenaka apa sedang diusahakan Riyadh melalui bantuan diumumkan Putera Mohammed Bin Salman kelmarin?
Riyadh dan Tehran adalah batu api yang menghancurkan Yaman. Apakah RM250 juta mampu menyucikan darah di Yaman?
Dunia sedar gabungan tentera yang diterajui Arab Saudi yang sengit bertempur dengan Houti sokongan Tehran pencetus kepada bencana kemanusiaan itu.
Menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, ia bakal bantu “memberikan respons berkesan terhadap keadaan taun di Yaman, melalui gabungan kegiatan air, kebersihan dan jagaan kesihatan.
Jenaka apakah yang sedang cuba disendakan Riyadh pada Syawal yang mulia ini?
Ketakutan terhadap pengaruh Tehran serta rasa menggigil mengenai kestabilan kedudukan monarki Bani Saud membuatkan Arab Saudi mula cenderung campurtangan menggunakan polisi ketenteraan di Asia Barat.
Apa lagi setelah Riyadh dibonekakan dengan perjanjian senjata bernilai USD110 bilion. Donald Trump yang licik menggunakan kegoyahan sistem monarki Bani Saud sebagai alat menghasut Riyadh. Sekelip mata, Riyadh menyertai misi anti Tehran tajaan Washington.
Sejak Revolusi Arab Spring pada 2012, sistem monarki Bani Saud terganggu dengan agenda demokrasi tulen.
Bahangnya turut dirasakan Bahrain yang kini menjadi sekutu kuat Arab Saudi.
Setelah menjahanamkan Yaman, Arab Saudi menunjukkan minat dalam isu kemanusiaan di Yaman. WHO mengumumkan, jumlah kes disebabkan taun kini mencecah 179,548 sehingga 20 Jun lalu. Angka korban pula 1,205 nyawa.
Ketua Kemanusiaan PBB, Stephen O’Brien menyifatkan wabak taun sebagai, “bencana buatan manusia” disebabkan pihak bertelagah bertempur dalam perang saudara di Yaman dan negara lain yang turut menyokongnya.
Konflik berdarah melandayang 27 juta penduduk Yaman tiada tanda berakhir. Sejak Houti Syiah memulakan pemberontakan di Sanaa dan tindak balas sekutu Arab Saudi melancarkan serangan udara besar-besaran.
Sekiranya Arab Saudi terus menjadi boneka AS di Asia Barat sebagai Israel baharu untuk mengimbangi pengaruh Tehran, bukan saja Yaman menjadi mangsa, tetapi dua kota suci Makkah dan Madinah ikut dicagarkan pada keganasan tindak balas musuh Riyadh.
Arab Saudi yang kaya-raya dan banyak dirham ini perlu ditegur dan dikawal segera. Riyadh nampaknya tidak mampu mengawal diri sendiri! – MYNEWSHUB.CC