DUA lelaki dipercayai pengganas yang diburu perkhidmatan keselamatan Arab Saudi terbunuh selepas sebuah kereta meletup di Qatif, bandar timur negara itu, malam semalam.
Arab News melaporkan penasihat kepada Kementerian Luar, Faisal Farhan mengesahkan kematian dua individu ini menerusi akaun Twitternya.
“Dua pengganas terbunuh dalam letupan itu,” tulisnya.
Dalam kejadian tersebut, berlaku letupan berpunca daripada bom kereta di kawasan kedai dan bangunan pangsapuri.
Menurut laporan, polis dikatakan sedang mencari tiga individu lain yang terselamat dalam kejadian tersebut
Dua suspek yang maut dikenali sebagai Fadhel Al-Hamada dan Mohammed Al-Somayel.
Video dan gambar kejadian menjadi tular di media sosial dengan memaparkan keadaan kereta terbakar dengan asap hitam tebal serta gambar mayat rentung ditarik keluar daripada bangkai kereta tersebut.
Qatif yang diduduki majoriti penduduk Islam Syiah sering menjadi medan pengeseran diskriminasi antara kerajaan Islam Sunnah dan Syiah.
Kawasan sekitar Qatif menjadi sasaran tembakan dan letupan oleh militan Sunni sejak 2014 yang menganggap minoriti Syiah sebagai sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam. –MYNEWSHUB.CC