RIO DE JANEIRO – Presiden Brazil Michel Temer akan mendakwa pemilik syarikat pembungkusan daging JBS, Joesley Batista kerana menfitnah.
Pada awal tahun ini, Batista dikatakan menyerahkan pita rakaman yang mengandungi perbualan Presiden Brazil itu berhubung kait perbuatan rasuah.
Dalam satu temu bual pada minggu ini dengan sebuah majalah, Batista turut menyifatkan Temer sebagai “pemimpin kumpulan jenayah terbesar dan paling berbahaya di Brazil”.
Presiden Brazil dalam satu kenyataan menyelar tindakan Batista yang dianggap suatu pembohongan dan mengkritik temu bual disiarkan majalah Veja itu.
“Presiden akan mengambil langkah sewajarnya terhadap (Batista). Pembohongan beliau telah terbukti dan pampasan kewangan sesuai akan dicari bagi memperbaiki masalah yang timbul bukan sahaja kepada Presiden tetapi negara,” jelas kenyataan itu.
Temu bual Batista dengan majalah Veja menghangatkan semula skandal rasuah yang melanda Temer termasuk sumbangan dana haram bagi membiayai kempen pilihan raya.
Batista juga menuding jari kepada beberapa sekutu terdekat Presiden Brazil itu dan menuduh mereka bersubahat melakukan jenayah rasuah bersama Temer. – BERNAMA-NNN-XINHUA