KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyumbangkan bantuan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu negara dinasihatkan agar mengikut saluran yang betul.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata hal ini berikutan tindakan sesetengah NGO yang menganjurkan program buat gelandangan di sekitar Kuala Lumpur hingga menyebabkan kawasan tersebut kotor dan tidak terurus hingga mencemarkan imej ibu kota.
“Kerajaan telah menyediakan pusat transit gelandangan agar segala aktiviti atau program berkaitan gelandangan dapat dibuat di satu tempat dan pihak NGO seharusnya sedar mengenai perkara ini.
“Selain itu, sebelum mereka (NGO) menyumbangkan apa-apa jenis makanan terhadap golongan ini, kualiti makanan juga perlu dirujuk kepada pihak pengurusan pusat transit dahulu.
“Ada kes sebelum ini, pihak penganjur memberikan makanan yang tidak boleh dimakan oleh orang Islam dan sebaliknya. Ini adalah salah,” katanya kepada pemberita selepas program Volunteer for Kuala Lumpur @ Unity (V4KL@Unity), di sini hari ini.
Tengku Adnan turut menasihatkan pihak NGO dan warga kota agar tidak memberi terlalu banyak bantuan khususnya wang tunai, makanan dan pakaian yang dianggap dapat membuatkan golongan ini menjadi terlalu selesa dan malas.
“Di pusat transit itu, pihak kerajaan menyediakan pendidikan buat golongan ini untuk mereka ubah hidup sendiri serta ada juga yang diberikan peluang pekerjaan. Namun kalau sudah setiap hari diberikan makanan dan pakaian secara percuma, bukankah itu akan menyebabkan mereka jadi selesa dengan kehidupan sebegitu?
“Sehingga ada juga disebabkan terlalu banyak diberikan bantuan seperti baju, ada dalam kalangan mereka menjual semula baju tersebut di pasar malam. Kalau kita mahu menderma, mendermalah di tempat yang betul dan berilah kepada pihak yang sangat memerlukan,” tegasnya.
Sementara itu, seramai 500 peserta terdiri daripada ibu bapa dan pelajar menyertai program sukarelawan V4KL@Unity dengan mengecat semula struktur kemudahan awam di sekitar Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, di sini hari ini bagi persediaan penganjuran Sukan SEA 2017 di ibu negara pada Ogos ini.
Tengku Adnan berkata program, V4KL@Unity pada kali ini agak unik memandangkan ia turut melibatkan kerja-kerja pengecatan di luar rumah-rumah ibadat bagi pelbagai agama. – BERNAMA