KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Pelitawanis TNB hari ini menyampaikan sumbangan berupa bakul penyediaan makanan dan duit raya kepada golongan asnaf yang menetap di Apartmen Abdullah Hukum dan Flat Putra Ria, Bangsar dekat sini.
Sumbangan sempena Aidilfitri itu melibatkan 50 keluarga asnaf yang tinggal di dua blok pangsapuri berkenaan merangkumi ibu tunggal, fakir miskin, dan keluarga besar dengan masing-masing menerima duit raya RM400 serta bakul penyediaan makanan bernilai RM100.
Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata sumbangan itu merupakan sebahagian usaha syarikat untuk mendekati penduduk setempat sambil berkongsi keceriaan Aidilfitri.
“Diharapkan sumbangan ini dapat menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk semua,” katanya ketika merasmikan program itu di sini.
TNB memperuntukkan RM25,000 untuk tujuan itu.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Cawangan Pelitawanis TNB Bangsar Datin Wira Ungku Ashiela Ungku Hamzah dan Pengerusi Badan Pengurusan Apartmen Abdullah Hukum, Mohamad Daud. – BERNAMA