SIAPA tak kenal Si Cilik Meletop, Yusof Iskandar ni kan. Kecomelan dan keletah permata hati pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen ini selalu mencuit hati pengikut Instagramnya yang kini sudah pun mencecah angka 1.5 juta.
Seperti kebanyakan ibu-ibu di luar sana, Hanis pun tidak ketinggalan memberikan yang terbaik buat si comel kesayangannya itu.
Dan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh Hanis ialah suntikan imunisasi buat Yusof agar putera sulungnya itu terhindar daripada segala penyakit berbahaya.
Dalam perkongsian itu, Hanis berkata, jika culas mengambil suntikan imunisasi, bayi berkemungkinan menghidap penyakit seperti tibi, campak, beguk, rubella dan kancing gigi.
Penyakit-penyakit berjangkit ini kerap menyerang kanak-kanak dan mempunyai komplikasi yang serius berbanding penyakit-penyakit lain.
Bak kata Hanis, anak dan keluarga adalah amanah Allah, jagalah mereka dan secara tidak langsung kita turut menjaga kesejahteraan masyarakat sejagat.
“Hancur hati Mommynis bila baca dan lihat bayi dan anak-anak kecil terkena penyakit yang sepatutnya boleh dicegah dengan imunisasi. Apatah lagi penyakit yang telah lama terhapus, kemudian kini wujud kembali kerana ada yang memilih untuk tidak berikan suntikan imunisasi anak-anak,” tulis aktres berusia 27 tahun ini menerusi gambar yang sudah menerima lebih daripada 94,000 likes itu.
Oleh itu, buat ibu bapa muda di luar sana, jangan lupa beri suntikan imunisasi untuk si kecil anda agar terhindar segala penyakit berbahaya. Jangan sesekali abaikan aspek penting ni ya!
Jangan lupa cucuk #lengkapkanimunisasi – MYNEWSHUB.CC