MAJLIS perkahwinan pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac bersama model, Gabrielle Robinson yang sepatutnya berlangsung pada 29 Julai ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Menurut Hans, keputusan menunda tarikh majlis kahwin itu terpaksa dibuat ekoran bapa Gabrielle tidak dapat pulang ke Malaysia kerana terikat dengan kontrak kerja di Austria.
“Saya terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kami kepada tarikh lain kerana bapa Gabrielle tidak dapat datang berikutan terikat dengan kontrak di Austria.
“Malah ada saudara mara dan sahabat handai pergi cuti tarikh sama. Sejujurnya, ini adalah salah saya kerana ketika memilih tarikh, saya tidak beritahu Gabrielle dan keluarganya,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Meskipun tiada lagi tarikh rasmi baharu diputuskan, Hans, 46, bagaimanapun berharap majlis akan diadakan tahun ini memandangkan sudah membayar deposit dewan majlis tersebut.
“Saya sudah membayar deposit dewan malah hampir 70 peratus persiapan yang dilakukan saya sudah bayar semuanya,” katanya.
Terdahulu, pasangan ini dijangka melangsungkan perkahwinan di gereja St. John’s Cathedral, Kuala Lumpur pada 29 Julai ini dan majlis resepsi bakal diadakan di Hotel Majestic pada hari yang sama.
Bakal isteri Hans, Gabrielle, 28, merupakan bekas Ratu Cantik Pelancongan.
Sementara itu, Hans memaklumkan, pihaknya sudah pun menarik balik keputusan menyaman bekas teman lelaki Gabrielle, Robin Coenraad kerana menganggap perkara itu sudah selesai.
Ia selepas lelaki tersebut kemudian menarik kenyataannya yang berunsur fitnah terhadap model itu menerusi laman sosial. – MYNEWSHUB.CC