PELABUHAN KLANG – Hanya 41,673 pendatang asing tanpa izin (PATI) hadir bagi membuat permohonan Enforcement Card (E-Kad) di sini sejak 15 Feb lalu sehingga semalam, jauh lebih rendah daripada sasaran Jabatan Imigresen Selangor iaitu 100,000 orang.
Pengarahnya Omran Omar berkata daripada jumlah itu, 40,395 permohonan diluluskan manakala 1,278 permohonan ditolak kerana berada dalam senarai hitam jabatan berkenaan selain tidak menepati syarat kelayakan bagi memohon E-Kad.
“PATI dari Bangladesh merupakan yang paling ramai hadir membuat permohonan E-Kad di sini (Pejabat Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang) dengan jumlah 26,874 orang diikuti PATI dari Indonesia seramai 12,812 dan Myammar seramai 658 orang.
“PATI yang bekerja di sektor pembinaan adalah yang terbanyak membuat permohonan E-Kad dengan jumlah 18,886 orang diikuti sektor perkilangan seramai 9,774, perkhidmatan (9,730) perladangan (1,681) dan pertanian (1,602),” katanya di sidang akhbar di sini hari ini.
Omran berkata pihaknya akan mengadakan operasi besar-besaran untuk menggempur PATI sebaik sahaja tempoh pemohonan E-Kad tamat pada tengah malam ini.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana PATI dan majikan yang didapati bersalah, Jabatan Imigresen sudah memberikan tempoh yang secukupnya selama hampir lima bulan untuk majikan dan PATI untuk memohon E-Kad, “katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di perkarangan Pejabat Jabatan Imigresen Selangor mendapati ia dibanjiri kira-kira 1,000 PATI yang hadir seawal pukul empat pagi untuk membuat permohonan E-Kad pada saat-saat akhir. – BERNAMA