TEKA-teki menyatakan status pertunangan Indah Ruhaila telah berakhir terjawab apabila penyanyi itu mengesahkan ikatan tersebut telah putus sejak tiga bulan.
Perkara itu diakui oleh Indah, 29, yang memuat naik kenyataan menerusi laman Instagram miliknya.
Menerusi kenyataan itu, Indah menyatakan dia bukan manusia sempurna dan masing-masing ada melakukan kesilapan.
“Saya mengesahkan saya kini bukan lagi tunangan orang.
“Pertunangan saya dengan Mr.R telah berakhir sejak 3 bulan lalu.
“Kami masing-masing ada melakukan kesilapan dan saya bukan manusia sempurna.
“Meletakkan diri saya paling bawah, saya ingin memohon maaf atas segala khilaf kepada semua pihak yang terjejas dengan isu ini terutama ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan,” katanya.
Pada masa yang sama, Indah menyatakan dia tidak mahu lagi bercerita mengenai kisah putus tunanganya kerana perlu menjaga hati banyak pihak.
Oleh itu, dia berharap diberi ruang dan privasi setelah memaklumkan hal ini.
Terdahulu, Indah menafikan bermain cinta dengan jurulatih peribadinya ketika masih bergelar tunangan orang.
Malah, Indah juga dikatakan enggan mengulas mengenai status hubungannya dengan tunangnya.
Indah mengikat tali pertunangan seminggu sebelum memasuki program Akademi Fantasia 2013. – MYNEWSHUB.CC