NEW DELHI – Setelah melakar sejarah melancarkan paling banyak satelit menerusi satu pelancar iaitu sebanyak 104 buah pada 14 Februari lalu, India sekali lagi mencipta rekod baharu angkasa.
Pertubuhan Kajian Angkasa India (ISRO) pada Isnin mendakwa telah berjaya melancarkan sebuah roket bersaiz gergasi iaitu seberat 640 tan dari tapak pelancaran pusat berhampiran Teluk Bengal di Sriharikota, Andhra Pradesh.
Menurut satu laman sesawang agensi angkasa negara itu, pelancaran roket yang dikenali sebagai Geosynchronous Satellite Launch Vehicle (GSLV) Mk III, atau ‘Fat Boy’ tersebut dianggap sebagai ‘hari bersejarah untuk India’.
Media tempatan melaporkan, menerusi projek roket saiz raksasa berkenaan, ia secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan pihak ISRO terhadap agensi angkasa Eropah dalam melancarkan satelit bersaiz besar dan berat.
Sementara itu, stesen penyiaran antarabangsa BBC dalam laporannya turut membandingkan berat kasar roket GSLV tersebut adalah bersamaan dengan kira-kira 200 ekor gajah dewasa atau lima buah jet super jumbo Airbus.
Sebagai perbandingan, purata berat kasar setiap 17 misi roket program Apollo di bawah Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat antara 1961 hingga 1972 lalu adalah hampir 3,000 tan.
Bagaimanapun ia melibatkan berat muatan penuh bersama bahan bakar serta gabungan tiga buah roket berbeza bagi setiap pelancaran ke angkasa dengan roket induk yang membawa krew angkasawan hanya seberat 140 tan.
Manakala berat purata setiap roket dalam program angkasa Rusia lazimnya sekitar 2,750 tan dengan kapsul yang memuatkan kokpit angkasawan hanya kira-kira 23 tan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA