KUALA LUMPUR – Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berharap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sutan Ibrahim tidak terlalu lama memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tunku Tun Aminah berkata, pada beliau adalah lebih baik Tunku Ismail yang juga kekandanya dan pemilik pasukan JDT menyumbang dan berkhidmat hanya kepada JDT kerana Tunku Ismail didakwa tidak dihargai sebagai Presiden FAM.
“Saya berharap Tunku Mahkota Johor tidak berada lama sangat sebagai Presiden FAM. Lebih baik menyumbang dan berkhidmat di mana anda dihargai dan disayangi.
“Tidak usahlah berada disana terlalu lama dan lebih baik pulang daripada berada di tempat yang anda tidak dihargai. Walaupun JDT telah berada di tahap yang tinggi, bawalah JDT ke tahap yang lebih tinggi lagi dan berikan tumpuan kepada negeri Johor yang lebih menghargai dan menyayangi anda,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi JDT hari ini.
Mynewshub semalam melaporkan, laman Facebook rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers (JST) mengungkit tentang kisah lampau bola sepak Malaysia sewaktu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
JST membuat kenyataan itu gara-gara tidak berpuas hati dengan laporan negatif media berhubung kegagalan skuad negara mengalahkan Lebanon di Stadium Larkin pada 13 Jun lalu.
Laman Facebook itu mendakwa kredibiliti Presiden FAM yang baharu dipertikai oleh pihak media hanya kerana kekalahan itu sedangkan media tidak pernah menyebut nama Sultan Pahang ketika sejarah kegelapan bola sepak negara.
“Segala kebaikan dan perkara positif yang telah dilakukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selama ini telah dilupakan dan tidak dihargai, malah kredibiliti baginda dinilai dan dipertikai hanya satu perlawanan sahaja.
“Ketika sejarah kegelapan bola sepak negara dimana lebih 100 pemain didapati terlibat dalam gejala rasuah, tiada pun media menyebut nama Sultan Pahang.
“Pada dua tiga tahun yang lepas ketika pasukan Malaysia kalah besar 10-0, 6-0 tiada sesiapa pun yang menulis nama Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah) atau Dollah Salleh (bekas jurulatih Harimau Malaya).
“Tetapi hari ini, selepas pasukan Malaysia tewas satu perlawanan dengan pasukan yang kuat, media telah menulis Tunku Mahkota Johor telah gagal,” kata JST.
Laman Facebook JST mendakwa, situasi itu berlaku kerana Tunku Mahkota Johor tidak memberi suapan kepada media dan menjaga ahli-ahli politik. – MYNEWSHUB.CC