SHAH ALAM – Adinda kepada Sultan Selangor, Tengku Puteri Sofiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 68, yang mangkat semalam, selamat dimakamkan di Makam Diraja Shah Alam , Seksyen 5 di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Almarhum dimandi dan disembahyangkan dengan dipimpin Timbalan Mufti Selangor Dr Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Klang. Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van jenazah ke Makam Diraja.
Menggunakan pengusung diraja dan diiringi Jejawat Diraja, jenazah Tengku Puteri Sofiah dibawa ke makam dan selamat dimakamkan pada 11 pagi.
Turut mengiringi jenazah Tengku Puteri Sofiah ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan isteri Datin Seri Shamsidar Taharin.
Selain kerabat Diraja dan Orang-orang Besar Istana Selangor, rakyat jelata turut memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tengku Puteri Sofiah.
Sementara itu, putera sulung Tengku Puteri Sofiah, Raja Jasril Ashrull Raja Jaafar , 37, yang ditemui pemberita kemudian berkata bondanya menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sejak enam bulan lalu akibat komplikasi buah pinggang dan hati.
“… dan semalam secara tiba-tiba bonda minta pindahkan dia dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad sebelum bonda disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.10 petang,” katanya.
Almarhum Tengku Puteri Sofiah meninggalkan seorang putera dan dua puteri.
Semalam, sumber dari Istana Selangor mengesahkan Tengku Puteri Sofiah mangkat di HTAR, namun tiada sebarang majlis istiadat negeri bersempena kemangkatan Almarhum. – BERNAMA